BEBERAPA kumpulan ibu bapa, mengecam tindakan anak perempuan Olivia Newton-John yang telah mengeluarkan satu video muzik yang menyiarkan adegan yang terperinci cara mengambil dadah dan membunuh diri.
Chloe Lattanzi, anak Olivia, pelakon filem ‘Grease’ dengan bekas suaminya, aktor Matt Lattanzi, telah memasukkan adegan itu di dalam single keduanya ‘Play With Me’.
PLAY WITH ME-JANGAN TIRU AKSI INI
Dalam satu adegan, penyanyi yang berusia 25 tahun itu, dilihat mencederakan dirinya dengan ditemani oleh seorang lelaki yang membiarkan saja perbuatannya di sebuah bilik hotel. Chloe berpakaian gaun hitam sambil berbaring di atas katil dan membisikkan perkataan ‘berilah perhatian pada saya.’
Dalam adegan seterusnya, Chloe memegang senjata dan dihalakan ke kepalanya sambil menggeliat, cuba mengambil perhatian teman lelakinya.
Akhirnya, gadis berambut perang itu duduk di atas meja yang penuh dengan serbuk putih untuk menggambarkan kokain
“Ia mengenai jiwa yang mati perlahan-lahan di hadapan orang yang kita cintai, dan orang itu langsung tidak perasan apa yang berlaku di dalam hati kita, tidak dilihat, didengar dan sangat memerlukan cinta dan perhatian,” katanya.
“Konsepnya agak gelap tetapi ia hanyalah makna kiasan saja.”
Klip muzik video itu disiarkan di internet minggu lepas dan mendapat 12,000 hit di laman YouTube.
Ibu Chloe, Olivia belum lagi memberikan komen tentang video yang telah menyebabkan kemarahan orang ramai di Australia.
“Sedih bila memikirkan seorang wanita muda sangat perlukan perhatian sehingga sanggup menolak mana yang elok dan baik,” kata Elizabeth Handsley, Presiden Majlis Kanak-kanak dan Media Australia.
“Tujuan untuk glamorkan perbuatan yang menyakiti diri sendiri tidak akan membantu jati diri anak muda untuk menangani masalah mereka.”
Setelah mendapat kecaman tentang muzik videonya, Chloe turut memuat naik satu lagi video di YouTube untuk menjelaskan tindakannya.
Katanya: “Video itu hanya sebagai nilai artistik. Saya bukan mahu bunuh diri sendiri, saya tak mahu mati, saya tak mahu bunuh sesiapa, saya tak mahu sesiapa pun mati, ia dibuat untuk seronok saja.”
“Sesetengah orang terlalu serius dan suka berleter. Mengarut sungguh.”
“Tugas seorang artis adalah untuk mencabar idea. Saya tetap bersyukur kerana anda memberikan perhatian kepada saya. Mengingatkan tentang perkara negatif, kerana saya seorang yang baik.
Publisis Chloe, Michael Caprior dan beberapa kawan Chloe mempromosikan video tersebut melalui laman Twitter dan Facebook.
Tunang Chloe, seorang jurulatih jiu-jitsu, James Driskil yang sering dipuji kerana mempunyai pengaruh yang baik terhadap penyanyi itu, turut bersetuju dengan klip video itu.
Sebelum ini Chloe pernah berkata, dia mengalami zaman kanak-kanak yang sepi ketika ibunya yang kini berusia 62 tahun, sibuk membina karier selepas filem muzikal ‘Grease’ berjaya dan lagu ‘Physical’ yang dinyanyikan, menduduki carta pada tahun 1981.
Olivia turut mengalami masalahnya sendiri, termasuk berjuang merawati kanser payu-dara dan bercerai dengan bapa Chloe setelah 11 tahun bersama.
Pada tahun 2005, sekali lagi Olivia menderita apabila teman lelakinya selama sembilan tahun, Patrick McDermott tiba-tiba hilang ketika pergi memancing ikan di California. Tahun lepas, dia muncul semula di Mexico dan telah menukar nama dan warna rambutnya.
Menurut penyiasat, dia menghilangkan diri untuk mengelakkan daripada hutang dan supaya anak lelakinya dapat menerima wang insurans sebanyak GBP100,000 (RM482,000).
Olivia sekarang gembira dengan suami keduanya, John Easterling, seorang usahawan Australia.
Pada tahun 2007, Olivia memberitahu sebuah rancangan televisyen Amerika tentang masalah anoreksia yang dialami oleh anaknya setelah gambar Chloe yang kelihatan sangat kurus, tersiar.
Katanya: “Kita kadang-kadang tidak mahu fikir ada yang tak kena, bukan bermaksud saya tak takut, gementar dan risau tentang dia.”
Chloe yang waktu itu berusia 21 tahun berkata, penyakitnya seperti ‘mekanisma mengawal’ untuknya. Dia menambah: “Saya bangga dengan ibu saya yang dapat bercakap tentang masalah ini. Saya rasa dia seorang yang hebat.”
Sejak itu, dia berjaya mengatasi masalahnya dan susuk tubuhnya kelihatan lebih sihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...