SHAH ALAM - Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah melakukan pembunuhan ke atas jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain berdasarkan penemuan DNA milik mangsa pada barang-barang kes.
Bukti itu akan dikemukakan melalui keterangan saksi yang menemui DNA milik seorang daripada mangsa iaitu pegawai bank Noorhisham Mohamad pada kayu kriket dan DNA peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada zink-zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat-mayat mangsa.Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkata, demikian dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir di sini hari ini.
Saksi juga akan memberikan keterangan mengenai penemuan sebilah pisau berkarat hulu besi, gelung dawai, serpihan tulang dipercayai tulang manusia, dua buah telefon bimbit jenama Blackberry, seutas jam tangan dan sebatang anak kunci tertulis BMW, katanya.
Selain itu, Ishak berkata, dua pekerja ladang, U.Suresh dan T.Sarawanan akan dipanggil memberi keterangan bagi membuktikan bagaimana perancangan oleh Pathmanabhan dan tertuduh keempat, R.Kathavarayan bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan ke atas keempat-empat mangsa serta peranan yang dimainkan oleh setiap tertuduh dan bagaimana tertuduh kedua, T.Thilaiyagan membunuh setiap mangsa.
Suresh dan Sarawanan sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.
"Saksi-saksi juga akan mengesahkan bahawa Sosilawati ada urusan jual beli tanah di Pulau Pinang dengan tertuduh pertama (Pathmanabhan), urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang diuruskan oleh tertuduh pertama dan tertuduh pertama yang uruskan pembelian tanah dari Southern Symphony kepada Ample Quality di mana sebanyak RM2.9 juta telah dibayar sebagai 10 peratus harga belian tanah tersebut iaitu RM29 juta," kata Ishak.
Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Ishak yang mengetuai pihak pendakwaan berkata pihaknya juga akan mengemukakan keterangan saksi-saksi di tempat kejadian yang melihat api marak dari rumah mereka.
Beliau berkata, pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan saksi-saksi yang mengesahkan jam tangan jenis Bell & Ross dan telefon bimbit Blackberry Bold warna putih milik Ahmad Kamil, jam tangan Seiko milik Kamaruddin serta penerimaan jam tangan 'Longines' daripada Suresh. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...