Pemandu ambulans saman JPN
11 April 2012
GEORGETOWN - Seorang pemandu ambulans di Hospital Seberang Jaya memfailkan saman RM500,000 terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akibat kecuaian merekodkan statusnya sebagai seorang berbangsa Cina dan beragama Buddha dalam kad pengenalannya.
Mohd Nordin Mohd Tahir, 56, yang diwakili peguam Azizi Abd Hadi, memfailkan saman itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, semalam.Dalam notis tuntutannya, Mohd Nordin menuntut permohonan maaf dan JPN memberi akujanji supaya tidak mengulangi kecuaian terhadap mana-mana individu lain dan ganti rugi RM500,000 terhadap kecuaian salah rekod status bangsa dan agamanya.
Pada 1 Julai 2005, JPN mengeluarkan kad pengenalan MyKad kepada Mohd Nordin namun sering disapa dengan pandangan sinis dan tidak menyenangkan ketika mengadakan urusan.
Beliau menyedari kad pengenalannya tidak tertera perkataan ‘Islam’ walaupun beragama Islam dan berbangsa Melayu tetapi ditukar kepada seorang berbangsa Cina dan beragama Buddha.
Akibat kecuaian itu, Mohd Nordin mengalami tekanan perasaan dan malu disebabkan ia adalah isu sensitif kerana agama dan bangsa, maruah serta nama baiknya.
“Kecuaian JPN boleh mengundang pelbagai masalah seperti berlaku kematian boleh memberi kesan yang parah terhadap tuntutan dan pengurusan jenazah, hak pewarisan, pusaka dan hilang hak sebagai seorang Bumiputera di negara ini,” katanya.
Mohd Nordin memperoleh salinan rekod maklumat peribadi dan mendapati JPN melakukan kecuaian dalam urusan pendaftaran apabila maklumat peribadi disalah rekod setelah kad pengenalan dikeluarkan 1 Julai 2005 tidak tertera perkataan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...