KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan bahan letupan dikenal pasti sebagai jerangkap rekaan elektrik (IED) yang diletakkan dalam kon oleh individu tidak bertanggungjawab sewaktu perhimpunan 901 Isnin lalu, bertujuan menimbulkan huru-hara kepada orang ramai.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, secara umum siasatan mendapati individu yang terlibat melakukan perbuatan itu, cuba untuk mewujudkan keadaan kelam-kabut di kalangan peserta perhimpunan.Menurutnya, tiada niat atau tujuan untuk membunuh dikesan, sebaliknya lebih kepada perbuatan untuk menimbulkan kacau-bilau. “Kita tidak menolak kemungkinan individu yang melakukan perbuatan itu mempunyai pengetahuan serta kepakaran dalam menghasilkan bahan letupan.
“Kita merampas tiga unit kon, tiga jam berbentuk penggera, tiga paip PVC berukuran 50 milimeter (mm) dan tiga unit bateri berjenama Eveready, GP dan King Long yang digunakan sebagai bahan komponen untuk menghasilkan bahan letupan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek dari Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada balu-balu bagi tahun 2011 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, kon dirampas bukan milik polis dan cantuman serpihan ketiga-tiga kon berkualiti rendah itu menunjukkan tapak kon berbentuk bulat dan empat segi, berbeza dengn kon polis yang tapaknya berbentuk segi tiga.“Ketebalan saiz kon polis adalah berukuran 7mm, manakala kon yang digunakan dalam kejadian lebih nipis tapaknya iaitu bersaiz 3mm. Kita percaya kon itu dicuri dari kawasan tapak pembinaan dan bukan dibeli,” katanya.
Mohmad berkata, polis meminta orang ramai terutamanya peniaga yang mungkin menjual lebih daripada tiga unit bahan seperti jam penggera, paip pvc dan bateri kepada individu tertentu untuk membantu polis mengenal pasti bahan tersebut.
Katanya, terdapat nombor siri pada paip PVC yang digunakan dan sesiapa yang ada kepakaran tentang bahan ini diharap dapat tampil segera bagi membantu polis mengesan pembelinya.
Menurutnya, orang ramai boleh merujuk semua gambar bahan dirampas melalui laman Facebook Polis KL dan diminta menghubungi pegawai penyiasat Deputi Superintendan Yahya Abdul Rahman, 019-4708946 untuk menyalurkan maklumat.
“Dalam siasatan kes ini kita sangat memerlukan kerjasama orang ramai khususnya yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berhubung individu yang membeli bahan-bahan itu dan meletakkannya di kawasan kejadian,” katanya menegaskan tiada kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di kawasan itu.
Beliau berkata, polis akan cuba menyelesaikan kes ini secepat mungkin dan menggesa semua pihak agar tidak membuat laporan berbentuk spekulasi yang boleh menimbulkan rasa panik serta tidak selesa di kalangan orang ramai.(SH)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...