Rabu, 7 September 2011

MARI KEKOH ETOK SALAI SEDAP SUNGGOH


BERSIAP SEDIA dengan kertas yang digulung berbentuk kon di tangannya, kanak-kanak dari Tumpat, Kelantan itu kelihatan tidak sabar-sabar menanti etok yang telah dimasak untuk dimasukkan ke dalam kon itu.
“Saya buka kulit etok dengan gigi. Dua atau tiga kali seminggu saya mesti makan etok. Etok yang manis lebih sedap daripada yang masin, kak,” ujar Nakib Asri, 12, bersungguh-sungguh dengan wajah kegirangan kepada penulis.
Dia bersama abangnya terus menikmati etok penuh berselera.
Sememangnya menjamah etok sebagai makanan ringan cukup sebati bagi penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang tanpa mengira peringkat usia. Sama ada sambil menonton televisyen, berkelah mahupun bersantai bersama rakan dan keluarga, kudapan itu umpama kuaci masyarakat tempatan.
Etok merupakan sejenis hidupan bercangkerang yang bersaiz wang syiling lima sen hingga 50 sen hidup dalam sungai. Isinya berwarna putih jernih enak dimakan apabila disalai dengan rempah. Ramuan istimewa itu biasanya menjadi rahsia pengusaha etok.

ETOK disental dengan tangan bagi memastikan selut tanah dan pasir hilang.


Meskipun cara membuka kulit etok bagi meratah isinya boleh membawa risiko gigi menjadi sumbing jika tidak dilakukan secara berhati-hati, ia bukan penghalang kepada peminat kudapan itu untuk menikmatinya.
Seorang suri rumah dari Kuala Krai, Kelantan, Sakila Mohd. Yusof, 29, mengakui membuka cengkerang etok agak mencabar bagi mereka yang belum biasa.
Harga mahal
“Bagi yang tidak biasa, membuka cangkerangnya memang sedikit mencabar tetapi hasilnya berbaloi. Saya makan etok sebab rasanya sangat sedap dan ia berkhasiat,” ujarnya.
Tanpa disedari, timbunan etok di hadapan mata boleh dihabiskan dalam masa sekelip mata lebih-lebih lagi jika isinya pejal dan manis dengan aroma serai serta halia yang menusuk ke hidung.
Harganya juga agak mahal iaitu RM12 bagi secupak etok salai dan RM6 bagi satu leng atau setengah cupak. Namun, soal harga tidak menjadi rungutan kepada yang menggemarinya.
Zaman dahulu, etok dijaja dalam bakul yang dibawa oleh peraih wanita di atas kepala sambil mengelilingi kampung. Hari ini, penggemar etok boleh memperoleh kudapan tersebut di gerai-gerai tepi jalan sama ada di gerai-gerai yang menjual goreng pisang atau kuih-muih tempatan yang lain.
Orang lama dalam perusahaan etok salai, Awang Sayed Abdul Rahman, 63, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Daud dari Kampung Semat Jal, Tumpat, Kelantan berpengalaman menyalai dan menjual etok di sekitar bandar Kota Bharu.
Pak Su Daud yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Maimunah Deraman, 52, pernah mempunyai sehingga 14 buah gerai menjual etok di tepi jalan kerana sambutan yang menggalakkan sekitar tahun 1970-an.
Rempah istimewa

BAHAN perap dan garam dimasukkan sebelum etok disalai.


Pak Su Daud yang juga seorang pengamal perubatan tradisional berkata, berbanding hidupan air lain seperti kerang, etok adalah haiwan yang bersih kerana ia hanya makan lumut hijau. Etok juga hidup dalam sungai yang tidak tercemar dan mengalir sederhana.
“Etok adalah haiwan yang bersih dan jika kita amalkan makan isinya boleh merangsang dan menambah darah dalam badan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pak Su Daud berkata, rempah dan ramuan yang digunakan semasa memerap etok juga baik untuk kesihatan kerana ia merupakan bahan asli dalam masakan Melayu.
Sebelum diperap antara sejam sehingga enam jam bergantung kepada cita rasa penyalai etok, etok yang bersalut tanah sungai akan dibasuh dan dibilas berkali-kali sehingga air bilasan etok jernih.
“Secara umum, bahan perapan utama adalah serai, bawang putih, halia, ketumbar dan halba yang dikisar halus sebagai bahan untuk memerap etok mentah yang sudah dibasuh bersih.
“Selain itu ada juga bahan-bahan rahsia lain yang kami gunakan sebagai rencah istimewa, saya sendiri memasukkan enam lagi herba tradisional lain yang saya ilhamkan sendiri sejak dahulu,” katanya yang mengunci mulut menyimpan rahsia ramuan istimewanya.

ETOK yang siap disalai dimasukkan ke dalam bakul.


Seorang pengusaha etok di Kampung Tasek Pauh, Pasir Puteh, Samsiah @ Minah Daud, 51, berkata, sungai sekitar kampungnya di Sungai Tasek, Pengkalan Pauh dan Tok Aje mempunyai etok bersaiz besar dan berwarna kuning. Ia merupakan etok berkualiti tinggi.
Samsiah berkata, pengutip etok yang terdiri daripada belia kampung akan turun ke sungai pada waktu pagi dan petang dan membawanya terus ke pintu rumah pelanggan tetap masing-masing.
Katanya, terdapat lebih 30 pengusaha etok yang majoriti terdiri daripada kaum wanita di kampungnya yang menyalai etok di rumah. Mereka menjual etok sama ada secara tetap atau sambilan di pasar tani dan pasar malam serta di merata-rata tempat.
Seorang lagi pengusaha etok, Suriani Zakaria, 29, pula berkata, kegiatan menyalai etok adalah pekerjaan turun temurun di kampung itu. Secara purata dia memperoleh antara RM200 sehingga RM400 setiap kali keluar berniaga di pasar.

PAK SU DAUD membalik-balikkan etok yang disalai supaya ia masak sama rata.


Ibu kepada lima orang anak itu bukan sahaja menyalai etok bahkan kadangkala turun sendiri mengharung sungai mengutip etok bersama kaum Adam.
Suriani berkata, masyarakat tempatan hari ini tanpa mengira peringkat umur cukup menggemari etok. Ini terbukti apabila jualan etok yang dibawanya antara lima hingga enam gantang setiap kali berniaga di pasar akan habis dalam masa kurang daripada tiga jam.
“Berniaga etok meskipun nampak meletihkan tapi hasilnya amat memuaskan, purata modal etok mentah adalah antara RM15 hingga RM20, tetapi kita boleh mendapat pulangan sehingga RM50.
Selain di Kampung Semat Jal dan Kampung Tasek Pauh, perusahaan etok di Kelantan juga boleh didapati di Kampung Laut, Tumpat dan kawasan Pasir Mas-Salor.
Walaupun etok kekal menjadi minat masyarakat Kelantan, namun Pak Su Daud sempat menyuarakan kebimbangannya.
“Saya mengharapkan bekalan etok mentah dari luar Kelantan terutama negeri Terengganu kerana hidupan itu sudah tidak banyak di sungai negeri ini akibat aktiviti mengorek pasir yang memusnahkan habitat dan pembiakan etok.
“Jika kegiatan mengorek pasir yang dijalankan di Sungai Kelantan dapat dihentikan buat seketika, hidupan ini akan dapat membiak semula dengan baik. Berilah peluang agar tradisi ini diteruskan,” katanya penuh harapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Blogobo.com