Khamis, 11 Ogos 2011

MISTERI-TULANG DIATAS KUBUR

ALOR GAJAH - Penduduk Kampung Kelemak Jaya digemparkan dengan penemuan tulang manusia daripada paras pinggul yang dikerumuni semut di tanah perkuburan Islam Kelemak, di sini, pagi kelmarin.
Lebih mengejutkan apabila tulang itu dipercayai tulang milik orang dewasa yang sudah dipotong sebahagiannya berada di tanah perkuburan berusia lebih 10 tahun yang menempatkan tiga jenazah kanak-kanak.

Penduduk, Omar Md Ali, 52, berkata, dia menemui tulang itu Sabtu lalu ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai membersihkan tanah perkuburan bapanya.

“Ketika berada di tanah perkuburan itu bersama ibu, saya terpandang satu objek yang ditanam menegak dari dalam kubur dan saya terus menghampiri untuk melihat lebih dekat.

“Namun, saya tidak berani untuk mengusik atau mengorek lebih dalam, lagipun kedudukannya di antara dua kubur kanak-kanak,” katanya.

Pada keesokan harinya, Omar kembali semula ke tanah perkuburan itu untuk mengambil sejenis daun dan terkejut sebaik mendapati lubang yang dikambus semalam terbuka semula.

“Saya terkejut apabila mendapati kubur itu kembali berlubang tetapi tiada kesan menggunakan cangkul. Kemudian, saya terus memaklumkan kepada anak saudara saya, Norhisham Abdoll, 28, mengenai penemuan itu.

“Keesokan harinya, kami memberanikan diri untuk mengorek dan melihat sendiri apa sebenarnya yang tertanam menggunakan plastik. Kami terkejut melihat tulang manusia dari paras pinggul itu,” katanya.

Dia yang curiga dan berasa kurang senang dengan penemuan itu bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Alor Gajah dan Jabatan Agama Islam Melaka untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharudin, berkata, sepasukan anggota forensik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah daripada penemuan tulang terbabit dan percaya kejadian itu berpunca daripada binatang buas.

“Siasatan awal yang dilakukan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan pihak polis mengesahkan ia adalah cebisan tulang manusia seperti yang didakwa penduduk kampung.

“Berikutan itu, polis sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di situ dan meminta cebisan tulang berkenaan ditanam semula mengikut prosedur biasa,” katanya semalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Blogobo.com