Selasa, 7 Jun 2011

TERDENGAR SUARA HALUS

KOTA BHARU - Bisikan suara halus dipercayai mendorong seorang pemuda menggantungkan diri pada pokok gelang berdekatan rumahnya di Kampung Tapang, dekat sini, petang kelmarin. 
Pemuda tersebut yang menghidap masalah mental sejak dua tahun lalu ditemui mati tergantung kira-kira 150 meter dari rumahnya kira-kira jam 4.40 petang.

Mangsa yang berusia 28 tahun itu, ditemui mati tergantung oleh ibunya sendiri, Safiah Abdul Rahman, 53, ketika mencarinya selepas mendapati anaknya itu tidak pulang ke rumah sejak semalaman.

Safiah ketika ditemui di rumahnya berkata, anak ketiga daripada lapan beradik itu sebelum ini pernah menerima rawatan di hospital selepas kematian bapanya sejak dua tahun lalu.

Katanya, sebelum anaknya ditemui tergantung, dia dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira jam 9 malam.

Katanya, sebaik menyedari anaknya tidak pulang ke rumah, dia kemudian memberitahu ahli keluarga supaya mencarinya di sekitar kampung tetapi gagal.

“Pada keesokan harinya, saya sekeluarga keluar lagi untuk mencari anak saya, tetapi gagal.

“Dengan pertunjuk Allah, selepas menunaikan solat Asar, saya keluar ke belakang rumah yang dipenuhi semak samun lalu melihat anak saya tergantung dan sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Katanya, sebaik menemui mayat anaknya, dia bergegas ke rumah meminta bantuan anak menantu, sebelum menghubungi pihak polis

Safiah berkata, sebelum ini anaknya itu pernah membakar televisyen dan merosakkan harta benda tetapi tidak sesekali mengasari ahli keluarga.

“Dia memberitahu saya, dia ada mendengar suara yang menyuruh dia membakar barang dan bertindak begitu.

“Saya rasa kemungkinan ada suara-suara yang pelik menyuruhnya berbuat begitu sehingga dia boleh menggantungkan dirinya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, lelaki terbabit disahkan mati selepas beberapa jam bertindak menggantung dirinya dengan menggunakan tali nylon.

“Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Raja perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklafikasikan mangsa mati mengejut.

Difahamkan, sebelum kejadian, lelaki terbabit pernah diajak keluarganya untuk mendapatkan rawatan di hospital tetapi dia tidak mahu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Blogobo.com