Selasa, 24 Mei 2011

KERUSI BATU "BERGERAK"

ALOR GAJAH: Pelik. Tapi itulah hakikatnya apabila sebuah kerusi batu yang dikhaskan untuk pengunjung Pantai Sungai Tuang, Kuala Sungai Baru, dekat sini, berehat dan bersantai tiba-tiba beralih tempat
angkara perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

Lebih mengejutkan apabila kerusi batu yang beratnya hampir mencecah 300 kilogram itu mampu diangkat dan dipindahkan ke gigi air semata-mata bagi memudahkan pihak terbabit berehat sambil menikmati pemandangan air laut pasang surut tanpa gangguan.


Perkara itu disedari seorang pekerja kontrak Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), M Chandran, 48, sewaktu dia sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan berkenaan sebelum melihat satu objek berdiri teguh di gigi pantai, baru-baru ini.

Mulanya, dia menyangkakan bahan buangan yang hanyut arus air pasang tetapi selepas menghampirinya baru menyedari ia kerusi batu disediakan pihak berkuasa tempatan itu.


“Padahal pada sebelah paginya saya sudah berulang alik di tebing pantai ini mengumpul sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung tapi tidak perasan kerusi itu sudah beralih ke situ daripada lokasi asalnya.


“Selesai kerja saya berehat di kerusi batu di sebelah hujung pantai ini sebelum terpandang satu objek di pantai yang saya sangkakan kerusi plastik dihanyutkan ombak pada mulanya.

“Namun saya terkejut sebaik menghampirinya dan mendapati ia adalah kerusi batu yang diletakkan di atas tebing dan sudah dialih ke situ.


“Niat hati memang nak alih semula kerusi ini di tempat asalnya tapi saya tidak termampu angkat benda yang seberat ini, saya cuba panggil empat ke lima orang yang berada di pantai untuk membantu tapi tetap tidak berjaya,” katanya yang hairan bagaimana kerusi berkenaan boleh beralih ke tepi pantai.

Dalam pada itu, seorang guru yang mahu dikenali sebagai Sallehudin Din, berusia lewat 40-an, ketika ditemui berkata, dia melihat sekumpulan mat rempit melepak di kawasan pondok rehat dan pantai berkenaan tanpa mengetahui apa tujuan sebenar mereka berada di situ.


Katanya, dia yang ketika itu berada di sebuah kedai minum berdekatan pantai terkejut selepas melihat ramai mat rempit berkumpul di kawasan itu kira-kira jam 11.30 malam namun tidak mempedulikan apa dilakukan mereka.


“Saya ternampak sekumpulan remaja bermotosikal sedang berlonggok di kawasan tebing pantai itu dalam sinaran cahaya suram tapi tidak cuba mengambil tahu apa dilakukan kerana menyangka mereka hanya melepak di situ.


“Tapi ketika pergi ke tandas di situ saya perasan ada sebuah kerusi batu berada di sebelah bawah tebing berhampiran dengan pantai.


“Sehingga sekarang saya masih bingung memikirkan bagaimana kerusi batu boleh berada di bawah tebing pantai, jika kerana air pasang tidak mungkin kerana ia terlalu berat. Saya tidak tahu lah jika mereka (mat rempit) ada kekuatan luar biasa,” katanya lagi.-HARIAN METRO-
*Gambar sekadar hiasan*

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular

Blogobo.com