KETIKA siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi, parti yang bertanding giat memancing undi rakyat.
Ramadan yang sudah memasuki minggu kedua bukanlah halangan kepada calon dan pemimpin menelusuri kampung, meredah malam yang dingin untuk menyampaikan ceramah.
Beberapa 'port' menarik dipilih untuk menyampaikan ceramah kepada golongan sasaran.
Pas misalnya memilih sebidang tanah lapang milik persendirian untuk dijadikan medan ceramah mereka.
Walaupun mungkin keadaan tanah lapang ini kurang selesa, namun ia tidak mematahkan selera penduduk untuk mendengar ceramah yang disampaikan.
Buah kelapa kering yang bergelimpangan dijadikan alas duduk mereka untuk mendengar amanat pemimpin pembangkang.
Penulis juga yang berada di kawasan ceramah Pas terpaksa menggunakan buah kelapa sebagai alas duduk.
Nampak lucu, tapi ia berguna kepada penyokong pembangkang yang hadir untuk mendengar butir-butir ceramah daripada wakil parti itu.
Antara topik popular yang menjadi bahan pembangkang adalah komitmen gagasan itu untuk memastikan kadar kemiskinan di Kuala Besut dan Terengganu amnya dapat dikurangkan seterusnya dihapuskan.
"Terengganu negeri paling kaya, ada minyak.
"Kita wajib hapuskan kemiskinan di Terengganu dengan sekelip mata, dan menyediakan rumah 5,000 unit setiap tahun dalam tempoh 10 tahun," kata ahli Parlimen Pandan yang juga anak kelahiran Terengganu.
Selain itu, beliau turut menekankan isu sumber pendapatan warga Kuala Besut yang bergantung kepada perikanan.
Katanya, kerajaan perlu menyediakan kemudahan kepada rakyat untuk memiliki bot besar supaya dapat menjalankan aktiviti penangkapan laut dalam sekali gus menaikkan taraf hidup penduduk.
"Kuala Besut akan menjadi pusat perikanan, pesisir pantainya pun banyak minyak.
"Kita lihat pusat perikanan yang ada potensi untuk besarkan, tapi masalah kita jadi nelayan, pukat kecil dan bot juga kecil.
"Sepatutnya ada peralatan yang moden dan canggih seperti nelayan di Jepun, kerajaan bagi semua kemudahan itu," ujar beliau.
Melihat kepada jumlah kehadiran penyokong Pas yang tidaklah begitu ramai, namun ia memadai untuk menunjukkan sebilangan warga Dun Kuala Besut memberi sokongan kepada calon Pas bagi menggantikan penyandangnya sebelum ini yang meninggal dunia, Dr A Rahman Mokhtar dari BN.
"Saya datang nak dengar ceramah ini, tak kisah kat mana pun, walaupun terpaksa duduk atas buah nyor (kelapa) ini," kata Rahmat Abbas, 51, yang hadir ke ceramah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...