Halaman

Rabu, 30 November 2011

KASIHNYA IBU YANG BERGELAR ISTERI

  PENULIS dan jurufoto, Azalezah Malek terkesima seketika. Di sebalik hutan belukar di Kampung Baru, Salong, Pekan, Pahang terdapat sebuah rumah papan usang yang dipenuhi kayu-kayan. Di situ, sepasang suami-isteri sedang bertungkus-lumus mengetuk dan menggergaji kayu. Dari kejauhan, Ahmad Najib Mohd. Don, 60 dan Pauziyah Abdullah, 53, berbual kosong dengan penuh tertib.
Kedua-duanya seolah-olah sedang memperkatakan tentang kehadiran kami di 'wilayah' mereka. "Terima kasih kerana sudi datang ke bengkel kami. Perusahaan perabot dan barang perhiasan daripada kayu pain kami usahakan secara kecil-kecilan saja," kata Pauziyah segera meninggalkan pengetuk dan paku tatkala salam dihulurkan.

  Ahmad Najib pula menghentikan mesin yang bunyinya ditelan dek siulan mergastua dan gemersik pepohon di hutan belukar itu. Lambakan kayu pain boleh dilihat merata-rata. Suasana cukup sunyi sehingga jam yang sedang berdetik jelas pada pendengaran. Tiada radio untuk menemani kerancakan mereka bekerja. Hanya secangkir kopi dan biskut keras di sisi Pauziyah ketika itu. Kata suami isteri ini, perusahaan membuat perabot menggunakan material kayu pain bermula sejak tahun 1990.

  Sejak itu, tanggungjawab, posisi dan karakter Pauziyah mengalami transisi yang sangat drastik. Daripada seorang suri rumah, wanita cekal itu bergelar seorang tukang kayu. Bagaimanakah pintu hatinya boleh terbuka melakukan tugas seperti buruh kasar? Tidakkah dia malu mengerjakan pekerjaan yang lazimnya didominasi oleh kaum lelaki? Di manakah dia mengumpul segenap tenaga untuk melaksanakan kerja-kerja berat itu? Mendengarnya, Pauziyah seperti sudah siap siaga dengan jawapan. Dengan peluh merecik di wajah, anak kelahiran Pahang ini berkata: "Sudah menjadi tanggungjawab isteri membantu suami, masa dalam berpantang pun saya masih bekerja, mengetuk, mengecat dan menggergaji." Frasa yang lahir dari lohong hatinya itu membuatkan penulis dapat merasai keikhlasan dan pengorbanan tulusnya untuk keluarganya.
  Pendidikan
GAGAH. Pauziyah menggunakan seluruh kudratnya mengalihkan papan sebelum melakukan kerja-kerja pemotongan kayu.
Garis halus di tapak tangan wanita ini juga sudah tidak kelihatan dan kelembutannya juga sudah hilang. Namun, dia tidak kisah.Bagi Pauziyah, seberat mana pun kerja yang dilakukan, janji ia membuahkan rezeki yang halal demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

   "Ini rezeki kurniaan Allah yang maha hebat kepada kami. Duit inilah digunakan untuk membesar dan memberi pendidikan yang terbaik kepada empat anak saya," kata Pauziyah yang sarat dengan sifat keibuan. Beritahu wanita ini, sepanjang 21 tahun mengusahakan produk industri kecil dan sederhana (IKS), dia dan suaminya tidak pernah bercuti. Mereka akan mula bekerja seusai solat Subuh dan akan meninggalkan bengkel sebelum langit bertukar gelap.

   Kalau diikutkan hati kata Pauziyah, mereka mahu lanjutkan kerja hingga lewat malam. "Tapi selepas kami dikejutkan dengan ngauman harimau di sebalik hutan belukar itu beberapa tahun lalu, kami batalkan niat itu," ceritanya. Sepanjang wawancara berlangsung, mereka menjawab pertanyaan kami tanpa meninggalkan gergaji dan pengetuk di tangan. Pauziyah mengetuk paku pada sebuah bekas pasu tanpa ragu-ragu. Jari jemarinya yang lincah menukang menampakkan sisi profesionalnya sebagai tukang kayu. Wajahnya yang putih kuning menjadi sedikit merah padam tatkala menahan mata daripada dimasuki habuk.

   Dia juga sedikit tidak menghiraukan bahang kepanasan yang membuatkan peluh membasahi seluruh tubuh badannya. Ketika sepasang suami isteri ini memerah kudrat, anak ketiga mereka, Nasyitah, 26, tampil lalu membutirkan kata-kata. "Parut dan lebam memang dah jadi 'makanan' mak, mak pernah tertusuk kayu sebesar duit 50 sen masa memotong kayu dulu. Paku juga pernah singgah di pahanya, tapi baginya macam tak de apa-apa saja," adu anak gadis muda itu. Pauziyah hanya mengangguk-angguk sambil mengerutkan dahi.
Si suami yang berkulit sawo matang dan berjambang putih pula lantas menyambung dengan nada seloroh : "Isteri saya adalah geng tukang saya, kalau dia cabut, habislah saya, susah mahu cari pekerja, gaji boleh bagi tapi ramai yang tak mahu."
   Menyentuh soal pekerja, Ahmad Najib memberitahu, dia tidak mempunyai pekerja selain isteri dan dua anaknya, Nasyitah, 26 dan Fadzillah, 28. Persekitaran yang berdebu memungkinkan jangkitan penyakit. Namun akui Pauziyah mahupun Ahmad Najib, mereka jarang jatuh sakit. Penulis dan jurufoto mencuri sedikit masa terluang untuk menggali tentang perusahaan kayu pain yang diusahakan oleh Ahmad Najib dan Pauziyah ini. Ahmad Najib yang sebelum ini menjalankan bisnes rotan berkata, semua itu berlaku sejurus selepas cukai untuk rotan naik mendadak. Justeru, dia dan isterinya terfikir mengapa tidak merevolusikan kayu pain menjadi barangan yang berguna seperti perabot dan barangan perhiasan.

   "Biasanya kayu pain orang anggap tak berguna dan akan buang begitu saja. Namun, kami melihat potensi kayu ini dan ramai tak tahu bahawa ia bagus. "Kayu ini sebenarnya berkualiti berbanding dengan kayu lain, urat kayunya juga lebih menarik," katanya yang mendapat bekalan dari sebuah syarikat di Peramu, Pekan dan mempunyai pengalaman menukang selama 35 tahun. Syarikat mereka yang diberi nama Perniagaan Kayu Muhibbah akan memesan kayu pain yang sudah siap dipotong dua minggu atau tiga bulan sekali. Meskipun tidak berpelajaran tinggi, kreativiti dua insan ini begitu terserlah. Mereka berdua bertanggungjawab mereka pelbagai kelengkapan seperti rehal, pasu, peti, almari, penyidai baju, penyangkut kunci, meja dan banyak lagi.
"Alhamdulillah, idea untuk menghasilkan barangan baharu sentiasa ada tapi seperti yang awak lihat, kita kekurangan peralatan yang canggih dan tenaga kerja," katanya.Pendapatan mereka bergantung kepada permintaan pelanggan. Namun, ada ketikanya jika produk dibawa ke pameran-pameran tertentu, mereka boleh memperoleh sekitar RM4,000. Kedua-dua mereka punya harapan besar untuk menakluk pasaran terutamanya di Lembah Klang jika ruang yang sepatutnya diberikan. Sambil matanya singgah pada satu objek, Pauziyah berkata: "Kami bersedia untuk berkongsi kemahiran kepada mereka yang berminat dan selagi Allah mengurniakan kekuatan, saya akan meneruskan kerja sebagai tukang kayu walau ia nampak ganjil pada mata masyarakat."HM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan sedikit komen anda sebelum keluar dan senang-senang berkunjung lah lagi...